Disini kami akan memaparkan beberapa petikan daripada Akta Perikanan 1985 (Akta 317), Undang-Undang Malaysia yang berkenaan dengan isu penyalahgunaan peralatan terlarang seperti racun, tuba, bom serta renjatan elektrik didalam kegiatan menangkap ikan sebagai panduan anda.
Untuk keterangan lanjut, sila muat turun fail berkenaan dibawah atau berhubung terus dengan Jabatan Perikanan berdekatan anda.
AKTA 317
AKTA PERIKANAN 1985
Suatu Akta berhubung dengan perikanan, termasuk pemuliharaan, pengurusan dan pemajuan penangkapan ikan dan perikanan kelautan dan muara, di perairan perikanan Malaysia, dengan penyu dan penangkapan ikan di sungai dalam Malaysia dan dengan perkara perkara yang berkaitan atau yang bersampingan dengannya.
BAHAGIAN VI
KESALAHAN-KESALAHAN [Bah. VI, s. 26]
26. (1) Mana-mana orang yang
(a) menggunakan atau cuba menggunakan apa-apa bahan letupan, racun atau pencemar, atau apa apa perkakas yang menggunakan arus elektrik, atau apa-apa alat yang dilarang, bagi maksud membunuh, melali, mencacatkan atau menangkap ikan, atau dengan apa jua cara lain menyebabkan ikan itu lebih senang ditangkap;
(b) membawa atau mempunyai dalam miliknya atau di bawah kawalannya apa-apa bahan letupan, racun atau pencemar, atau apa-apa perkakas yang menggunakan anus elektrik, atau apa-apa alat yang dilarang, dengan tujuan hendak menggunakan bahan letupan, racun atau pencemar, atau perkakas, atau alat yang dilarang itu, bagi apa-apa maksud yang tersebut dalam perenggan (a); atau
(c) mengetahui atau mempunyai sebab yang munasabah bagi mempercayai bahawa mana-mana ikan adalah spesies yang dilarang atau telah ditangkap dengan melanggar peruntukan peruntukan Akta ini, menerima atau didapati memiliki ikan itu. adalah bersalah melakukan suatu kesalahan.
(2) Apa-apa bahan letupan, racun atau pencemar, perkakas atau alat yang tersebut dalam subseksyen (1) yang dijumpai dalam milik atau di bawah kawalan mana-mana orang hendaklah dianggap sebagai dicadang untuk digunakan bagi apa-apa maksud yang tersebut dalam subseksyen (1) (a) melainkan jika dibuktikan sebaliknya.
KOMPAUN [Bah. VI, S. 31]
31.
(1) Mana-mana pegawai perikanan boleh mengkompaun apajua kesalahan dibawah Akta ini (kecuali kesalahan di bawah seksyen 8 (a), 11 (3), 15, 16 yang dibaca dengan seksyen 25, atau 26) dengan sejumlah wang yang tidak kurang daripada lima ratus ringgit dan tidak melebihi denda maksimum bagi kesalahan itu, dengan syarat bahawa kesalahan itu hanyalah kesalahan kali pertama atau kali kedua.
(2) Jika sesuatu peralatan menangkap ikan menjadi hal-perkara sesuatu kesalahan yang dikompaun di bawah subseksyen (1), peralatan menangkap ikan itu boleh dirampas dan dilupuskan sebagaimana yang diarahkan oleh Ketua Pengarah.
DENDA [Bah. VI, s. 25]
25. Mana-mana orang yang melanggar atau tidak mematuhi mana-mana peruntukan Akta ini adalah bersalah melakukan suatu kesalahan dan jika tiada penalti khas diperuntukkan berhubungan dengannya, orang itu boleh
(a) jika vesel yang berkenaan itu ialah vesel penangkapan ikan asing atau orang yang berkenaan itu ialah rakyat negara asing, dikenakan denda tidak melebihi sejuta ringgit setiap orang dalam hal empunya atau nakhoda, dan seratus ribu ringgit dalam hal tiap-tiap anggota kru;
(b) dalam segala hal lain, dikenakan denda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
PENAFIAN
Apa sahaja maklumat yang dipaparkan didalam halaman ini adalah berupa petikan daripada naskah asal pdf RANG UNDANG-UNDANG MALAYSIA AKTA 317/AKTA PERIKANAN 1985. Penulisan disini adalah untuk sekadar pembacaan anda dan tidak semestinya benar atau tepat. Sila rujuk pada naskah pdf seperti yang disertakan dibawah ini atau terus berhubung dengan Jabatan Perikanan berdekatan anda sekiranya anda ingin maklumat lebih lanjut.