Sistem Tagal Industri Pelancongan Sabah

bagaimana sistem tagal berfungsi

PENGENALAN

Sistem tagal atau sistem Bombon (yang bermaksud jangan dalam bahasa Kadazandusun) merupakan satu kaedah yang digunakan untuk memulihara biosfera secara tradisional di Sabah, khususnya bagi sumber hidupan akuatik di sungai. Melalui sistem ini, penggunaan sumber semulajadi atau kawasan tertentu dihadkan bagi tujuan pemuliharaan dan bagi memastikan kewujudan sumber tersebut secara berterusan.

Sistem Tagal merupakan satu kaedah tradisional yang telah diubahsuai menjadi satu sistem pengurusan yang lebih tersusun di bawah pemantauan Jabatan Perikanan negeri Sabah. Berdasarkan sistem ini, penggunaan sumber semulajadi dihadkan dengan mengaplikasikan zon rizab dan juga limitasi penuaian sumber sungai khususnya. Amalan pengurusan ini juga telah diperluaskan kepada lebih ramai komuniti pada masa kini dan sekaligus telah menjadi satu sistem pengurusan yang bukan sahaja untuk pemuliharaan alam sekitar tetapi sebagai sebuah ‘produk’ yang menyumbang kepada ekonomi dan sosial komuniti pelaksana.

SISTEM TAGAL

Jabatan Perikanan Negeri Sabah (DOF) telah memperluaskan sistem tagal di seluruh negeri Sabah sejak tahun 2003, sebagai satu sistem pengurusan sungai yang formal, diusahakan sepenuhnya oleh komuniti di bawah pemantauan DOF (Smart-partnership) dan dikawal di bawah peraturan kampung yang kemudiannya di bawah Undang-undang adat dan Enakmen Perikanan Darat dan akuakultur 2003, pesalah sistem Tagal boleh dikenakan denda atau hukuman sehingga dua tahun penjara. Walau bagaimanapun, usaha membangunkan sistem ini secara formal telah bermula sejak lewat tahun 90-an, malah pernah diamalkan di Tuaran pada tahun 1987 dan 1991 di Kota Belud (Jephrin, 2009). Hubungan dua hala ini dilaksanakan di bawah program Community Based fishery Resources management (CBRM). Pada tahun 2009, terdapat 240 kawasan Tagal yang melibatkan 240 sungai di Sabah (Jephrin, 2009). Pelaksanaan sistem Tagal yang paling berjaya adalah sistem tagal di Babagon, Noturuss, Kiburot, Nalapak (2008) dan Luanti Baru (2002). Sebagai penasihat teknikal kepada pelaksanaan sistem tagal, salah satu tugas utama DOF adalah mempromosikan aktiviti ekopelancongan bagi sungai yang berada di bawah program sistem tagal.

Bagaimana Sistem Tagal Berfungsi

Sistem Tagal Kg. Luanti

Sistem tagal Kg. Luanti Baru telah berjaya mengaplikasikan sistem tagal yang bukan sahaja telah berjaya mengekalkan habitat semulajadi, tetapi juga telah menjadikan sistem Tagal sebagai salah satu tarikan pelancong sejak ia dibuka untuk kunjungan pada tahun 2006 pada kadar bayaran yang berpatutan. Keunikan Projek Tagal Kampung Luanti Baru telah berjaya menarik ribuan pelancong dari dalam dan luar negeri melawat ke kampung itu setiap tahun (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Sabah, 2009), walaupun penglibatannya sebagai produk pelancongan boleh dikatakan masih pada tahap awal dan keupayaannya sebagai produk pelancongan yang mapan menjadi model kepada komuniti lain.

jumlah pelawat berdasarkan Jawatankuasa Tagal Kg. Luanti, pada tahun 2010

Berdasarkan Jawatankuasa Tagal Kg. Luanti, pada tahun 2010 terdapat sejumlah 22,764 orang pelawat domestik, manakala 798 orang pelawat dari luar negara , berbanding 7,000 pelawat domestik dan asing pada tahun 2008.

Manfaat industri pelancongan berasaskan sistem tagal kepada komuniti

Industri pelancongan yang bertongkatkan sistem tagal sebagai produk utama dan pengurusannya telah memberi manfaat kepada komuniti pelaksana dari segi kualiti hidup yang dapat dilihat melalui kualiti persekitaran semula jadi, pembangunan sosial dan juga pembangunan ekonomi (temuramah penduduk 2008; kerja lapangan, 2009). Sebagai sebuah produk pelancongan, sistem Tagal telah menjadi salah satu ‘label’ kepada pakej pelancongan, contohnya ‘Tagal’ Sungai Moroli, Kampung Luanti-Fish Massage dalam bahagian Destination: Places To Go (http://www.sabahtourism.com).

Pengurusan alam sekitar yang lebih cekap

Mathiesen & Wall (1991) menyatakan bahawa sejarah pelancongan telah menunjukkan bahawa persekitaran sesuatu tempat menyumbang kepada kewujudan dan kemajuan pelancongan. Sebagai sebuah produk pelancongan, sistem tagal bermodalkan sumber semulajadi seperti sungai Moroli, tumbuhan semulajadi yang menjadi sumber makanan ikan dan burung (terumatamanya MarangParang, Pangi (Pangium edule) dan Nunuk (Ficus sp.)) dan ikan (khususnya ikan Kelah (Tor douronensis) daripada keluarga Cyprinadae yang dalam bahasa tempatannya disebut sebagai Garap atau Pelian, komuniti cuba untuk memastikan kewujudan spesies dan kemantapan kualitipersekitaran fizikal secara berterusan.

PENGAWALAN

Salah satu tujuan sistem ini adalah mengawal aktiviti di sesebuah sungai untuk memberi peluang kepada hidupan untuk membiak dan membesar (Sitti, 2010). Demi mengawal kualiti persekitaran dalam pelancongan, peraturan dan penguatkuasaan sering ditekankan. Salah satu usaha adalah dengan meletakkan papan tanda peraturan untuk mengingatkan pengunjung.

Papan tanda Peraturan menunjukkan bahawa komuniti memahami daya tampung ekosistem seperti melimitasikan kemasukan pengunjung, mengawal pencemaran bising dan sebagainya yang boleh mewujudkan gangguan kepada persekitaran semulajadi.

Pemasangan papan tanda amaran yang seragam ini adalah sebagai peringatan kepada orang ramai terhadap aplikasi sistem tagal di kawasan berkaitan.

Pengezonan sistem Tagal

Secara umumnya, sistem Tagal melibatkan proses pengezonan kawasan larangan mengambil sumber sungai, bagi memastikan kawasan pemuliharaan dan kawasan boleh guna oleh komuniti. Lazimnya sepanjang 3km sungai terlibat, yang masing-masingnya dibahagikan mengikut zon berukuran 1km. Berdasarkan kes kampung Luanti Baru pula, sistem Tagal diaplikasikan di Sg. Moroli,melibatkan kawasan sugai sepanjang 3km. Sungai yang di tagal ini dizonkan kepada tiga zon iaitu Zon Merah, Kuning dan Hijau. Ketiga-tiga zon ini mempunyai peranan yang berbeza mengikut fungsi dan tujuan.

Gambaran kedudukan Sg. Moroli mengikut zon Tagal
Sumber : Diubahsuai daripada Gambaran Kedudukan Sg. Moroli mengikut Zon Tagal,Jawatankuasa Tagal, Kg. Luanti Baru, Ranau, Sabah
Walau bagaimanapun, pengezonan dan kriteria setiap zon adalah berbeza mengikut kepentingan sungai kepada sesebuah komuniti.

Zon Merah merupakan kawasan larangan menangkap ikan. Sungai ini mempunyai tiga buah lubuk yang dinamakan sebagai Lubuk Tadun, Lubuk Jambatan dan Lubuk Polod. Ketiga-tiga lubuk ini terletak di kawasan zon merah, iaitu pusat pembesaran dan pembiakan. Dalam zon merah, penangkapan ikan dilarang sama sekali.

Zon Kuning merupakan kawasan yang hanya akan menjalankan aktiviti menangkap ikan secara bersama-sama, bergantung kepada keputusan komuniti Tagal tempatan, dimana ikan hanya boleh ditangkap dalam dua hingga tiga tahun sekali, dan biasanya dilakukan semasa menyambut pesta menuai.

Zon Hijau merupakan kawasan boleh guna, di mana penangkapan ikan adalah dibenarkan, namun hanya kepada ahli komuniti sahaja, penangkapan ikan boleh dilakukan sekali setahun.

PENGUATKUASAAN

Kepentingan sumber semulajadi ini menyebabkan pengurusan persekitaran menjadi semakin cekap. Contohnya memperkukuhkan peraturan tagal dan penguatkuasaan dengan mengenakan ‘sogit’ mengikut peraturan kampung. Biasanya jumlah ‘sogit’ adalah bergantung kepada keputusan yang dilakukan oleh jawatankuasa dilantik oleh kampung, iaitu biasanya denda adalah berbentuk wang dan kerbau. Bagi kes kampung ini, jika terdapat pihak yang melanggar peraturan, dendanya adalah satu ekor kerbau atau lembu yang bernilai sebanyak RM1500 dan bayaran denda sebanyak RM500 tunai, iaitu berjumlah RM2000. Papan tanda larangan juga diletakkan di tepi sungai, sementara pada peringkat jawatankuasa kampung, perkara tentang tagal sentiasa diberikan penekanan.

FISH MASSAGE

‘Fish massage’ di kg luanti sabah tanda kejinakan ikan terhadap manusia

‘Fish massage’ tanda kejinakan ikan terhadap manusia

Menurut Jeffrin (Temubual, 2009; Markus, 2008) taburan ikan Kelah di lubuk Polan, Jambatan dan Tadon sepanjang Sg. Moroli adalah ikan yang dijinakkan menerusi teknik khusus yang mengambil masa selama dua tahun. Ikan ini dilatih dengan memahami sifat ikan secara semulajadi. Antara ikan yang telah dikenalpasti boleh mengurut ialah ikan Pelian (Tordouronensis), Buntol dan Lampam Sungai (Puntius schwanenfeldii). Ikan Pelian menggigit seluruh bahagian tubuh; Lampan Sungai mengurut bahagian belakang mengurut bahagian tapak kaki; manakala Buntol mengurut tapak kaki. Walaupun sistem Tagal telah menjadi produk pelancongan, namun permintaannya masih dikawal bagi memastikan daya tampung habitat berada pada tahap yang sepatutnya. Pengawalan permintaan perlu dilakukan bagi mengelakkan impak negatif kepada persekitaran akibat aktiviti pelancongan (Matias, 2004).

PENGURUSAN

Pengurusan persekitaran yang lebih baik juga wujud daripada kesedaran komuniti yang semakin peka dengan kualiti persekitaran. Ini kerana persekitaran telah menjadi aset komuniti sebagai produk pelancongan, yang membawa manfaat kepada mereka. Kesedaran dan kepekaan ini akan mendorong komuniti untuk terus memulihara persekitaran, terutama berkaitan dengan kebersihan sungai dan pengurusan spesies ikan dan tumbuhan.

Hasil daripada pengurusan alam sekitar yang mapan, beberapa anugerah diberikan kepada komuniti ini iaitu:

  • Pemenang anugerah “River Care Award 2006”
  • Most Outstanding Enviromentaly Friendly Project Award 2005
  • Johan, Sistem Ternakan(TAGAL) Peringkat Negeri 2007
  • Johan, Pengusaha Tagal (HIGH ACHIEVER) Peringkat Negeri 2007
  • Johan Pengusaha Tagal (HIGH ACHIEVER) Peringkat Negeri 2008
  • Johan Kategori Tagal Peringkat Daerah Ranau 2008

Pembangunan ekonomi

Pelancongan memberikan pengaruh yang besar terhadap ekonomi kawasan destinasi (Mathiesen & Wall, 1991; Roszehan et al 2010, dlm. Dambul, 2010), termasuk membuka peluang pekerjaan kerana aktiviti pelancongan memerlukan penglibatan ahli komuniti dalam permintaan tenaga kerja (Zanisah, 2009). Setakat tahun 2009, lebih daripada 20 orang penduduk telah bekerja secara tetap dalam sektor ini, sama ada sebagai pemandu pelancong, bahagian pentadbiran dan pekerja di bahagian perkhidmatan penginapan dan selebihnya melibatkan diri sebagai pekerja sambilan.

nntara ahli komuniti yang terlibat sebagai pemandu pelancong dan kakitangan pentadbiran kampung luanti

Antara ahli komuniti yang terlibat sebagai pemandu pelancong dan kakitangan pentadbiran

Selain daripada peluang pekerjaan dalam sektor industri, peluang perniagaan perkhidmatan dan barang semakin luas. Ini berikutan daripada permintaan pengunjung terhadap penawaran pasaran berasaskan makanan, kraf tangan dan juga penginapan. Ramai penduduk telah memperolehi keuntungan daripada jualan cenderamata, makanan ringan dan runcit yang dijual di gerai kampung serta perkhidmatan homestay. Keadaan ini menunjukkan pengaruh industri pelancongan terhadap pendapatan individu mahupun isi rumah dan sekaligus meningkatkat kemampuan kuasa beli dan pemilikan aset.

MANFAAT KEPADA KOMUNITI

Antara hasil kraftangan yang dijual oleh komuniti kampung luanti sabah

Antara hasil kraftangan yang dijual oleh komuniti

Keuntungan daripada sektor pelancongan digunakan untuk pembiayaan penyelenggaraan, iaitu meliputi pembayaran bil elektrik bangunan awam di kampung berkenaan seperti masjid dan dewan bagi kegunaan komuniti sendiri. Sebahagian hasil pendapatan pula digunakan untuk membiayai aktiviti penganjuran seperti majlis keramaian kampung, manakala peruntukan bagi membiayai persekolahan semua murid dari kampung berkenaan dan skim pinjaman awal kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di universiti (Hamden, 2010) juga diperuntukkan. Inisiatif komuniti ini merupakan satu langkah bijak dalam meningkatkan kadar celik huruf.

Pembangunan sosial

Impak sosial daripada pengaruh pelancongan adalah sukar diukur dengan angka kerana ia biasanya meliputi perkara yang tidak ketara dan tidak dapat dihitung kuantitinya (Mathiesen & Wall, 1991). Walau bagaimanapun ia tetap memberi impak kepada perubahan sosial komuniti yang terlibat. Merujuk kepada situasi sistem tagal Kg, Luanti Baru, industri pelancongan memberi kesan kepada perubahan sosial, apabila ahli mempunyai peranan dan tanggungjawab baru dalam komuniti, selain daripada menjadi petani sepenuh masa.

1.0 Penduduk yang terlibat sebagai kakitangan dalam aktiviti pelancongan, telah meningkatkan pengetahuan tentang hal-hal pengurusan, pengetahuan tentang sistem tagal dan kemahiran berkomunikasi dengan pengunjung.

2.0 Pemandu pelancong tempatan juga telah mula diberikan pendedahan tentang kaedah menguruskan pelancong dan melakukan intepretasi. Ini menunjukkan bahawa penglibatan komuniti dalam industri pelancongan membuka ruang kepada mereka untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, tanpa mengira usia.

3.0 Pembangunan infrastruktur di kawasan kampung juga telah mengalami peningkatan. Kemudahan pengangkutan dan telekomukasi telah dipertingkatkan. Kini maklumat perkembangan sistem ini, yang disediakan sendiri oleh komuniti tagal boleh dilayari secara atas talian. Ini juga menunjukkan perkembangan pengetahuan dan cara hidup penduduk dalam penyebaran maklumat secara digital. Ini akan menjadi galakan kepada peningkatan kadar celik IT di kalangan ahli komuniti dan merapatkan penglibatan dalam dunia pelancongan.

4.0 Penglibatan masyarakat dalam industri pelancongan berasaskan pengurusan sistem tagal sebagai produk pelancongan telah melahirkan kesedaran terhadap nilai bekerjasama dalam komuniti. Maklumbalas komuniti menunjukkan bahawa penglibatan komuniti dalam sektor ini telah menyebabkan hubungan mereka semakin rapat, iaitu seperti sebuah keluarga kerana masing-masing mempunyai hak yang sama dalam mencapai matlamat. Keadaan ini wujud apabila banyak keputusan pelaksanaan sistem ini, sama ada berkaitan pengurusan atau aktiviti pelancongan, adalah dilakukan berdasarkan pendapat kolektif dan persetujuan bersama. Ini kerana pandangan ahli komuniti sangat wajar diambil dalam memajukan pelancongan (Habibah, 2000. dlm Abdul Halim et.al. 2000).

KESIMPULAN

Industri pelancongan akan terus berkembang selagi ada produk untuk ditawarkan. Namun penawaran produk pelancongan bergantung kepada status persekitaran dan kebolehan manusia mengorganisasi ruang. Sistem tagal yang merupakan pengurusan biosfera secara tradisional telah diintegrasikan oleh komuniti Kg, Luanti Baru sebagai produk pelancongan yang memberikan manfaat kepada pengurusan persekitaran yang lebih sistematik dan mapan, pembangunan ekonomi dan pembangunan sosial komuniti.

PENGHARGAAN

Rencana ini telah dipetik sebahagiannya daripada artikel hakmilik :

Jurry Foo@ Jurry bt. F. Michael
Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Anda boleh membaca keseluruhan rencana ini mengikut pautan dibawah
https://www.researchgate.net/publication/50392025_Sistem_tagal_dalam_industri_pelancongan_Manfaat_kepada_komuniti